Siti Nurhaliza Titip Semangat Buat Wanita Berhenti Kerja Demi IVF, Dedah Pernah Rehat Setahun dari Dunia Seni
KUALA LUMPUR — Penyanyi terkemuka tanah air, Biduanita Negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza, tampil memberikan sokongan moral serta kata-kata semangat kepada seorang wanita yang mengambil keputusan besar berhenti kerja demi memberikan tumpuan penuh terhadap rawatan persenyawaan in vitro (IVF).
Sokongan tersebut disuarakan oleh pelantun lagu Kesuma itu menerusi platform Threads, selepas individu berkenaan berkongsi hasratnya untuk fokus sepenuhnya kepada proses IVF dan memohon doa orang ramai agar segala urusannya dipermudah.
“Persediaan IVF kali ini, aku siap berhenti kerja. Nak fokus betul-betul. Korang doakan ye,” tulis wanita berkenaan.
Memahami kepayahan dan pengorbanan yang perlu dilalui, penyanyi itu mendedahkan bahawa beliau sendiri pernah mengambil langkah serupa dengan berehat daripada kerjaya seni selama setahun demi memberi komitmen penuh kepada rawatan berkenaan.
“Saya pun macam itu... Berehat satu tahun untuk fokus IVF. Kalau tak, kerja memang takkan habis,” kongsi Siti di ruangan komen.
Selain berkongsi pengalaman peribadinya, ibu kepada dua cahaya mata itu turut mendoakan agar impian wanita berkenaan untuk memiliki zuriat sendiri dimakbulkan.
“Saya doakan semoga berjaya. Doa banyak-banyak ya,” tambah beliau lagi.
Untuk rekod, perjalanan Siti Nurhaliza dalam memiliki cahaya mata menuntut pengorbanan yang sangat besar di mana kedua-dua anaknya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa, dilahirkan menerusi prosedur IVF selepas bertahun-tahun mencuba.

0 Response to "Rezeki Anak2.. siapa sangka Rezeki di usia 47tahun, Tok Ti Umum berita gembira "
Post a Comment