X Promosi

Tular Foto Bersama Suspek Dera Bibik, Fattah Amin Dan Amira Othman Mula Buka Mulut


 Pasangan selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman tampil menafikan dakwaan yang mengaitkan mereka dengan insiden keganasan fizikal terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia yang tular di media sosial baru-baru ini.


Menerusi kenyataan yang dikeluarkan firma guaman Arief & Iskandar Advocates & Solicitors, kedua-dua selebriti itu menegaskan mereka bukan individu yang dipaparkan dalam video berdurasi tiga minit 29 saat tersebut dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan insiden berkenaan.


Menurut peguam mereka, selepas video itu tular pada 13 Jun lalu, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan pelbagai hantaran berunsur fitnah di platform media sosial termasuk Threads, Instagram dan Facebook yang mengaitkan Fattah serta Amira dengan kes tersebut.


Malah, terdapat dakwaan bahawa gambar asal yang memaparkan Fattah dan Amira bersama salah satu pasangan dalam video berkenaan telah disunting sebelum dimuat naik semula dengan kapsyen berunsur kontroversi dan fitnah.


Selain itu, gambar yang sama turut didakwa dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga memberi gambaran seolah-olah mereka mempunyai hubungan rapat dengan individu yang dikaitkan dalam insiden tersebut.


“Kami mempunyai arahan tegas daripada anak guam untuk menafikan segala kenyataan fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap mereka.”


“Anak guam kami bukan individu dalam klip video berkenaan dan tidak terbabit dengan insiden keganasan itu, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” kata kenyataan itu.


Menurut pihak peguam, penyebaran dakwaan tersebut telah menyebabkan Fattah dan Amira menerima pelbagai kritikan, kecaman serta penghinaan daripada orang ramai, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka dan menjejaskan reputasi yang dibina selama ini.


Sehubungan itu, kedua-dua selebriti berkenaan meminta orang ramai menghentikan penyebaran maklumat palsu dan menurunkan sebarang hantaran berunsur fitnah yang mengaitkan mereka dengan kes tersebut.


0 Response to "Tular Foto Bersama Suspek Dera Bibik, Fattah Amin Dan Amira Othman Mula Buka Mulut"

Post a Comment